07-5530136/5530044 lib-enquiryjb@utm.my

Pameran ‘Retrospeksi Bersejarah Leftenan Komander (B) Mohamed Sarif Bin Kalam’

Nov 21, 2023 | Gallery News

Sukacita dimaklumkan bahawa Pameran ‘Retrospeksi Bersejarah Leftenan Komander (B) Mohamed Sarif Bin Kalam’ sedang berlangsung di Aras Bawah, Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, Perpustakaan UTM, UTM Johor Bahru.

Leftenan Komander (B) Mohamed Sarif Bin Kalam merupakan salah seorang individu yang bertanggungjawab menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu (yang kini dikenali sebagai Jalur Gemilang) pada Hari Pengisytiharan Kemerdekaan di Stadium Merdeka 31 Ogos 1957 untuk dipersembahkan kepada orang ramai secara rasmi dan buat pertama kali.

Sepanjang 32 tahun berkhidmat dalam dunia ketenteraan memberi peluang kepada beliau menimba banyak pengalaman dan menjawat beberapa jawatan termasuk Pegawai Laksana Berek sebelum bersara sebagai Leftenan Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada tahun 1987.

Atas usaha dan jasanya kepada TLDM, beliau turut dianugerahkan beberapa pingat oleh kerajaan seperti pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) pada tahun 1986 dan pingat Kesatria Mangku Negara (K.M.N.) pada tahun 2017.

Sehubungan dengan itu, Perpustakaan UTM berbesar hati menjemput warga UTM agar dapat meluangkan masa untuk menyantuni pameran ini.

Seluruh warga kampus juga berpeluang untuk merasai pengalaman melayari pameran ini secara maya 360 darjah melalui pautan https://virtualgallery.utm.my/pameran-retrospeksi-bersejarah-leftenan-komander-b-mohamed-sarif-bin-kalam-penaik-bendera-persekutuan-tanah-melayu-pada-hari-pengisytiharan-kemerdekaan-di-stadium-merdeka-31-ogos-1957/